Skip to main content

INIKAH ERTINYA CINTA: 27

Terasa lambat masa bergerak. Dua jam terperuk di dalam kelas lukisan amat membebankan otak Arina. Sukar betul ingin mencurahkan secebis idea di atas kertas lukisan yang putih bersih di hadapannya. Imej yang terakam di minda tidak terluah. Dia memegang kemas pensel 2B berjalur hitam kuning. Tema lukisan ialah pemandangan di dasar laut.

Separuh daripada teman-temannya telah pun siap melakar sesuatu, segelintir lagi sudah mula mencalitkan warna. Dia kagum dengan sahabat di hadapannya. Temannya yang berbangsa Cina itu pantas dalam melukis, tidak kira apa sahaja tajuk yang diberi, hasilnya tidak pernah menghampakan. Betul kata pensyarah lukisannya. Golongan yang paling kreatif dalam menghasilkan sebuah lukisan yang bermutu adalah mereka yang bermata sepet dan kecil. Kalau dilihat daripada perspektif sejarah silam sendiri, memang masyarakat Cina amat mementingkan pendidikan, sastera dan seni kerana mereka yang berkebolehan lazimnya dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.

Ada masa dia kesal memilih seni lukis sebagai aktiviti ko-kurikulum. Namun, untuk memilih aktiviti lain, dia tidak berbakat. Bidang lukisan diceburi sejak dia masih kanak-kanak. Semasa diminta untuk memilih, mereka tidak diberi peluang untuk berfikir. Semuanya berjalan begitu pantas. Pada mulanya Arina berhasrat untuk menyertai orkestra. Hajatnya dibatalkan memikirkan dia tidak mempunyai pengetahuan luas dalam muzik. Para penuntut diarahkan menghabiskan aktiviti ini selama empat semester dan gred akan diambilkira dalam keputusan peperiksaan. Sekurang-kurangnya ia akan membantu dalam menaikkan pointer.

Tamat sahaja kelas, dia menuju ke mesin ATM yang terletak di bangunan canselori. Mujurlah kad Affin mempunyai perkhidmatan MEPS, ini bermakna dia boleh mengeluarkan wang di mana-mana mesin. Sengaja dia mengeluarkan wang lebih untuk kegunaan kecemasan. Lagipun malas hendak beratur berulang kali. Tahu sajalah dengan bilangan pelajar yang mencecah ribuan, mesin ini tidak pernah surut dengan pengguna. Menyakitkan hati apabila sudah letih beratur panjang, mesin pula out of service.

Sampai sahaja di kolej, Arina singgah sebentar di kafeteria untuk membeli makanan tengahari. Perut pun dah berbunyi minta diisi. Dia makan seorang diri di bilik. Aziriza mengikuti sesi latihan angklung. Alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh. Hari Sabtu masing-masing sibuk dengan ko-kurikulum atau istilah ringkasnya ko-k. Ada tiga sesi iaitu pagi, tengahari dan petang. Paling lewat bermula pukul empat petang.

Waktu menunjukkan pukul dua petang tatkala dia selesai menunaikan rukun islam yang kedua. Naskhah Ma’thurat dibaca setelah berdoa. Semasa di sekolah menengah, seorang senior menganjurkannya agar mengamalkan bacaan ma’thurat untuk menenangkan hati dan keberkatan hidup. Semoga setiap apa jua yang kita lakukan mendapat restu Ilahi. Sejak akhir-akhir ini jarang dia dapat membacanya lantaran kesibukannya bergelar pelajar. Solat hajat pun sudah lama tidak berbuat. Lapang dadanya selepas membaca doa tersebut. Terasa dekat diri ini dengan Pencipta.

Mata mula berat. Badan pun lesu.

‘Tidurlah sekejap sejam dua ...’ Akal Arina mengarahkan dia untuk melakukan aktiviti itu, lalu pantas sahaja hatinya menyetujui dan sekejap sahaja Arina sudah pun terlelap.

“Assalammualaikum.” Arina kembali membuka matanya apabil terdengar salam diberikan.

“Waalaikumussalam, lambat balik Eja?” Arina menegur setelah ternampak kelibat Aziriza masuk ke dalam bilk mereka.

“Ada latihan lagu baru tadi. Penatnya.” Aziriza menghempaskan tubuhnya yang langsing itu ke atas tilam. Tulang-temulang seakan mahu patah dibuatnya. Bermain angklung agak berbeza dengan alat muzik lain. Peka atau kosentrasi amat dititikberatkan. Lalai seketika akan menyebabkan kita hilang punca kerana setiap orang memainkan peranan yang berbeza. Maksud peranan berbeza ialah setiap orang memainkan not yang berlainan. Instrumen tersebut hendaklah digoyangkan dan bunyi akan terhasil melalui lagaan buluh-buluh mengikut tempo tertentu. Struktur angklung dicipta dengan ciri tertentu demi mewakili setiap not muzik. Melihat Arina yang sudah hanyut di alam mimpi, Aziriza menuruti jejak temannya. Sebentar sahaja dia juga terlelap.

Menjelang maghrib, penghuni kolej berpusu-pusu ke dewan menghadiri solat maghrib dan isyak berjemaah diiringi solat hajat anjuran biro kerohanian jawatankuasa kolej. Bersempena dengan minggu peperiksaan yang bakal menjelma. Aziriza dan Arina juga tidak ketinggalan menyertai majlis tersebut. Dapat juga mengeratkan silaturrahim sesama insan. Biarpun duduk sebumbung, ramai juga yang tidak saling mengenali antara satu sama lain lantaran sibuk dengan komitmen sendiri. Sudah menjadi kelaziman masyarakat Melayu Islam khususnya, setiap hari Khamis malam Jumaat akan diperdengarkan bacaan surah Yasin setelah selesai solat Maghrib. Antara fadhilat Yaasiin sepertimana menurut satu riwayat, daripada Abdullah berkata: Rasullullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang membaca Yaasiin waktu malam untuk mendapat keredhaan Allah SWT, maka akan diberi keampunan bagi-Nya.” Bagi orang yang sedang nazak, bacaan surah jantung hati Al-Quran ini membantu meringankan beban sakaratul maut.

Solat berjemaah hari itu diimamkan oleh Abang Fakhrul. Bangga sungguh si Mia tatkala mendapat tahu. Malangnya, dia tidak dapat hadir kerana uzur. Sungguhpun sedikit hampa, namun dia akur menerima cuti daripada Allah. Katanya pada Arina, jika ada jodohnya dengan Fakhrul, dia berharap mereka dapat solat berjemaah bersama-sama setiap hari sebagaimana yang sering dilakukan bapanya. Kesayuan suara imam mengalunkan ayat-ayat suci menggigit tangkai hati Arina. Apatah lagi sewaktu mengaminkan doa kepada ibu bapa. Esakan mula kedengaran dari setiap pelusuk dewan. Hiba hati terkenang diri yang jauh daripada ayah bonda. Harapan yang disandarkan pada bahu anak-anak bukan mudah untuk dipikul, namun tekad dan semangat menjadi bekalan dalam mengharungi detik getir sebagai siswa-siswi.

Mereka menikmati jamuan ringan yang terhidang di bilik JPPK sebelum bersurai. Semasa tiba di muka pintu, kelihatannya ia agak renggang tanda telah dibuka. Arina dan Aziriza bertoleh-tolehan sesama sendiri. Seingat mereka sebelum berangkat pintu sudah dikunci.Aziriza menolak pintu perlahan-lahan. La ... Intan terbaring nyenyak di atas katil Aziriza sambil di tangannya terselit disket berwarna hitam. Tubuhnya masih berpakaian sukan. Arina ketawa sementara Aziriza mengurut dada. Mujur bukannya pencuri mahu pun penceroboh.

Intan terjaga bila mendengar bunyi bising.

‘Diaorang dah balik rupanya.’ Dia menguap dengan mulut yang ternganga luas. Sekepal penumbuk pun boleh masuk. Badannya dipusing ke kanan dan kiri.

“Macam mana kau boleh masuk? Bukan ke pintu ni kunci?”Soal Aziriza.

“Mana kunci, kau tutup je. Roommate aku tak ada, aku pulak tak bawa kunci. Tu yang datang menumpang kat sini. Korang pergi mana?” Aziriza mengeluh kesal dengan kecuaiannya. Bagaimana dia boleh terlupa sedangkan selama ini dia yang selalu mengingatkan Arina.

“Dewan, kan hari ni ada solat hajat. Kita orang cari kau juga nak ajak tapi kau tak ada kat bilik.” Jelas Arina. Telekung yang disimpan di dalam beg kertas dikeluarkan lalu disimpan di dalam almari.

“Aku lupalah. Lagipun tadi aku jumpa Joe, dia ajak aku makan lepas latihan kawad tadi. Sebenarnya tadi aku terserempak dengan Sue, dia suruh kita tengok benda ni.” Intan mengunjukkan disket. Arina menyambutnya.

“Ada apa dalam disk tu?” Tanya Arina lagi.

“Entah, katanya sesuatu yang boleh menginsafkan kita. Aku pun tak tahu.” Jawab Intan.

“Dia pesan suruh pasang speaker dengan kuat.” Sambung Intan lagi.

“Lain macam aje. Ni yang aku maleh ni. Pasal mangsa perang kat Afghanistan ke? Eee ... aku gelilah tengok benda-benda kotor macam tu.” Aziriza meluahkan ketidaksanggupannya untuk menonton bahan-bahan seperti itu. Sungguh dia jelik.

“Hmm ... masa aku darjah enam, cikgu aku ada tunjukkan keadaan mangsa perang Bosnia. Biasalah, kan ... darah berhamburan sana-sini. Mayat-mayat bergelimpangan. Anggota badan tak lengkap, misalnya tiada kepala. Kau orang bayangkanlah betapa zalimnya Serbia. Kebetulan anak-anak Bosnia tu ditempatkan di sekolah aku. Mereka pun adakala bersikap ganas, mungkin pengaruh daripada suasana perang.” Intan khusyuk mendengar penerangan Arina sebentar tadi. Aziriza mengerutkan dahi. Mendengarnya sahaja bulu tengkuknya sudah meremang. Peperangan bukannya satu langkah bijak dalam menangani masalah pergolakan antara negara yang terlibat. Mereka yang tidak berdosa, golongan kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa kerakusan manusia yang berfikiran dangkal. Memakan jutaan malah billion ringgit untuk membangunkan semula negara yang musnah. Pengangguran juga akan meningkat dan masalah datang lagi selepas itu. Huru-hara sesama rakyat akan tercetus akibat persaingan mencari sesuap nasi. Sampai bila-bila pun tidak akan selesai. Lihat sahajalah persengketaan antara Palestin dan Israel, entah berapa puluh perjanjian yang ditandatangani semuanya dimungkiri. Hingga kini bumi Palestin masih bermandi darah dan dihujani peluru.

“Lupakanlah pasal tu. Eja, kau janganlah buat muka sardin tu. Tak semestinya Sue nak tunjukkan kita pasal tu. Entah-entah benda lawak. Kau tahu aje lah si Sue tu.” Arina memasang plug ke soket. Disket disumbat ke dalam pemacu. Intan mengambil tempat betul-betul di hadapan skrin. Arina berdiri di sisi Intan manakala Aziriza berdiri agak belakang sedikit. Gentarnya masih belum pergi.

Fail Sajjad Ali diberi nama. Dengan perasaan sedikit cemas, fail aplikasi Flash yang telah pun ditukar ke format Standalone Player dibuka. Intan bertindak menguatkan sedikit volume subwoofer. Satu paparan berlatar pemandangan Stonehedge terpampang. Ada beberapa baris ayat mewakili senikata lagu yang sedang berkumandang. Mereka tidak memahami satu patah perkataan pun, rasanya ia lagu berbahasa Hindi. Biarpun tidak mengerti, namun melodi dan rentak yang menarik menambat hati mereka untuk turut sama menyanyikannya. Akibat terlalu asyik, mereka tidak sedar ada sesuatu bakal mengejutkan mereka sehinggalah ...

“WARGHHH!!!!!”

“Aaaaa!!!” Seiring bunyi jeritan mereka dengan pekikan daripada komputer. Satu wajah ngeri berwarna hijau menyeringai mempamerkan sepasang taring yang tajam tersembul di skrin. Ketiga-tiganya berwajah pucat lesi kerana terperanjat dengan kemunculan wajah tersebut secara tiba-tiba. Jeritannya yang nyaring tambah menyeramkan. Seketika mereka terpaku. Mereka berpandangan sesama mereka.

“Kurang asam punya Sue!” Jerit ketiga-tiga mereka serentak, kemudian mereka ketawa terbahak-bahak apabila menyedari diri masing-masing dipermainkan oleh Sue.

Comments

Popular posts from this blog

My ultimate weakness is….always put too much and expecting too much from someone Which ended me hurt and frustrated. Always trust man words even I deny it verbally. Oh my…why do I always feel this way. Kebodohan apakah yang melanda? Hingga ke hujung usia masih tidak bangkit dari ujian yang sama. Moga…ya untuk moga yang kesekian kalinya. Moga tiada lagi istilah “percaya” pada yang tidak sepatutnya aku percaya.