Skip to main content

INIKAH ERTINYA CINTA: 24

Sudah lebih seminggu insiden itu berlaku. Arina sudah serasi dengan panggilan adik di kalangan teman-teman rapatnya. Cuma Sue dan Aziriza masih memanggilnya dengan nama asal. Ada masa dia merasakan memang dilayan sebagai adik. Sesungguhnya, dia senang hati diperlakukan sedemikian rupa. Di rumah dia bergelar kakak yang sulung, apa salah bertukar profesion menjadi adik pula di sini. Terasa dimanja.

Awal-awal lagi Arina sudah menyediakan beberapa tempat kosong untuk rakan-rakannya yang masih belum tiba. Dia menghalakan matanya ke pintu masuk utama dewan kuliah. Sejurus kemudian, dua orang lelaki melangkah masuk. Dia tersenyum sendiri. Jejaka pujaan Sue sudah sampai. Sekali lagi ditemani kawan yang sama semasa di lobi Fakulti Teknologi Maklumat. Sempat dia memerhatikan lelaki itu. Bersongkok hitam, kemas, lagak seperti alim . Kalau berjalan, mukanya pasti ditundukkan. Menjaga pandangan barangkali.

Bunyi derap kaki mematikan renungannya. Rakan-rakannya sudah sampai rupanya. Setelah mengambil tempat masing-masing, mereka terus sibuk memperkatakan tentang sesuatu. Intan menyerahkan sesuatu kepada Hazli. Wajah Hazli ceria sebaik sahaja menatap kertas tersebut.

“Kertas apa tu?” Soal Arina spontan.

“Kertas periksa Java Awalan. Terror gile mamat tu. Score A , 85%.” Sue menjelaskan. Arina terdiam. Inilah yang paling menggusarkan fikirannya. Melihatkan Hazli yang berjaya memperolehi keputusan yang memberangsangkan, timbul rasa iri hati. Pasti dia tidak mampu menyaingi sahabatnya itu. Subjek yang amat sukar dikuasai, itu yang tertanam di mindanya. Cuma berharap agar lulus, sudah cukup baik.

“Sue, kau nampak tak?” Arina cuba mengalih topik. Enggan membiarkan isu itu terus-terusan menghimpit dada.

“Nampak apa?”Arina menjuihkan bibirnya. Seketika kemudian Sue terpana.

“Ikhmal!” Terpacul nama itu dari bibir Sue. Sepasang matanya galak memerhati insan yang berjaya mencuri hatinya.

I guess that you have already known him?”Aziriza menyampuk. Sue tersengih.

Only his name.”

“Sebaya atau muda setahun?” Tanya Arina pula. Sue mengangkat bahu tanda tidak tahu. Otaknya berputar ligat mencari jalan untuk mengenali Ikhmal dengan lebih mendalam. Menurut apa yang diberitahu oleh kawannya, dia berasal daripada Sarawak. Ramai yang beranggapan dia berbangsa Cina memandangkan paras rupa dan warna kulitnya yang cerah.

Kuliah Sistem Maklumat Dalam Organisasi berakhir setengah jam lebih awal kerana Cik Nassiriah perlu menghadiri satu mesyuarat. Sebelum beredar, para pelajar dibekalkan dengan tugasan individu yang meminta mereka mencuba sebarang jenis perisian tanpa berpandukan manual daripada buku dan apa jua bahan yang berkaitan. Laporan hendaklah merangkumi nama perisian serta dilampirkan cara kerja pelajar sebagai bukti.

“Adik, kau dah dapat paper Java?” Hazli menahannya sewaktu dia mahu keluar daripada barisan tempat duduk.

“Belum, ingat nak ambik sekejap lagi. Tahniah, excellent result.” Arina mengkalungkan ucapan tahniah kepada Hazli kerana mendapat keputusan yang memberangsangkan.

“Terima kasih. Kau pun mesti boleh.” Hazli memberi semangat kepada Arina. Arina tersenyum namun kelat dirasakannya.

“Entahlah. Kalau lulus pun aku cukup bersyukur. Baiklah, aku pergi dulu. Sue pun dah lama tunggu kat luar tu.” Hazli mengundur untuk membuka laluan. Arina menoleh semula ke belakang apabila tiba di muka pintu. Niat ingin mengucapkan selamat tinggal tetapi Hazli sedang berbual dengan beberapa orang gadis. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada yang menegur dan majoritinya kaum wanita. Tidak hairan kalau dia menyandang gelaran playboya (playboy + buaya). Tapi Arina tahu, Hazli tidaklah seteruk mana. Dia yakin dengan anggapannya itu. Memadai andai Hazli tidak menyakiti hatinya.

Seperti yang dijangka, keputusan peperiksaan untuk subjek Pengaturcaraan Awalan sekadar cukup makan. Dia tetap bersyukur dengan ketentuan ini. Setidak-tidaknya lulus. Ada juga teman sekuliahnya yang gagal. Encik Amran, pensyarah yang bertanggungjawab mengajarnya, meniupkan semangat untuknya memperbaiki apa yang silap sedari awal. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.

Arina memicit kepalanya yang berdenyut. Stok Panadol pula kehabisan. Minyak angin dilumurkan. Harapnya mampu memberi sedikit kelegaan. Kepalanya didaratkan ke bantal.Cuaca yang panas membahang pada siangnya mungkin mendorong datangnya sakit yang menerjah di kepalanya.

Telefon bimbit yang terletak di sudut katil digapai. Ingin mengunci jam sebelum tidur buat seketika tatkala menyedari ada satu mesej tertera di skrin telefon. Terus dia menekan Inbox.

“Akum,Rin apa khabar?” oh, mesej Fendi. Muncul segarit senyum.

“Kurang sihat sikit. Cadangnya nak tidur sekejap. Mintak tolong kejut Rin pukul dua belas nanti, boleh?”

“Tak sihat?Esok pergi klinik tau, nanti melarat. Tidurlah, nanti Fendi gerak ye.”

Hai, Fendi. Tak payah pergi klinik, baca sms awak pun dah hilang sakit saya.’ Gumamnya di dalam hati.

Aziriza melirik pada temannya yang sudah pun melelapkan mata. Dia melihat jam di pergelangan tangan. Pukul sembilan setengah malam. Awal Arina tidur hari ini. Penat benar agaknya. Tekak Aziriza tiba-tiba terasa dahaga. Dia beralih ke meja kecil. Deretan botol air mineral tersusun di situ. Dia mengambil salah satu daripadanya.Cawan yang masih ditelangkupkan diangkat lalu dituang air ke dalamnya. Sedang dia meneguk air, telefon tangannya berdering.

“Buat apa tu?Esok jangan lupa ya!”

Ah, Iman. Risau sangat kalau aku terlupa. Butang Cancel ditekan untuk menutup mesej. Iman, Fariz Aziman, sahabat yang saban masa bersamanya tidak kira semasa atau luar waktu kuliah. Bagai isi dengan kuku. Namun dia sedar, sedikit sebanyak persahabatan mereka bergoyang dek fitnah yang tidak ketahuan puncanya. Kononnya mereka bercinta sedang hakikatnya tidak begitu. Mereka rapat atas dasar kawan.

Aziriza mengeluh. Dia tidak kisah kalau teman rapatnya mengusiknya dengan Fariz. Namun dia jadi tidak selesa apabila ada mata yang memandang sinis kepadanya. Bukan sekali dia menyuarakan kebimbangannya pada Fariz Aziman. Dan hanya satu jawapan sahaja yang dia dapat daripada bibir Fariz ... biarkan. Hampir-hampir mereka bertengkar. Sudahnya, Aziriza mengalah. Sebenarnya dia tidak mahu dituduh terhegeh-hegeh dengan lelaki. Juga bimbang andai maruahnya sebagai perempuan terjejas dengan tuduhan tidak berasas dari mulut-mulut mereka yang tidak bertanggungjawab.

Matanya melekat pada sticker gambar mereka berdua. Ianya diambil semasa mereka keluar ke bandar. Jenuh Fariz mengajak. Berkali-kali Aziriza menolak. Natijahnya, sepanjang mereka mengadap hidangan di food court, Fariz membisu.

‘Iman, mengapa banyak sangat rintangan dalam persahabatan kita.’ Detik hati Aziriza sayu.

Comments

Popular posts from this blog

My ultimate weakness is….always put too much and expecting too much from someone Which ended me hurt and frustrated. Always trust man words even I deny it verbally. Oh my…why do I always feel this way. Kebodohan apakah yang melanda? Hingga ke hujung usia masih tidak bangkit dari ujian yang sama. Moga…ya untuk moga yang kesekian kalinya. Moga tiada lagi istilah “percaya” pada yang tidak sepatutnya aku percaya.