Skip to main content

INIKAH ERTINYA CINTA: 20

Masih ada satu jam lagi sebelum kuliah terakhir untuk hari ini. Perut berkeroncong minta diisi. Ah, kafe mesti sesak bila tiba waktu tengahari.

“Jom makan wei ... laparlah.” Hazli bersuara sebaik sahaja keluar daripada dewan kuliah.

“Macam mana ... kau nak makan tak?”Arina mengangkat bahu tanda tidak pasti. Melihatkan panorama kafeteria yang penuh sesak dengan manusia, seleranya juga turut terbantut.

“Kafe full la Sue. Lepas kuliah kot aku makan kat kolej. Aku malasla nak rush ke kuliah nanti.”

“Ala ... kita makan kat Marrybrown la. Mesti tak ramai orang.” Hazli mengusulkan cadangan.

“Mahallah. Aku bawa duit cukup-cukup aje ni. Kau saja la yang pergi.” Sue menjawab bagi pihak mereka. Lebih-lebih lagi bila tahu yang Arina tidak biasa dengan Hazli. Sue faham sangat, kafe penuh hanya alasan untuk Arina melarikan diri daripada Hazli. Sue mengerti kawannya tidak pernah bergaul rapat dengan lelaki sebelum ini. Semua rakan-rakannya adalah daripada golongan Hawa.

“Tak apa, hari ni aku belanja. Tak best la makan sorang-sorang. Aku ikhlas ni.” Sue memandang wajah Arina untuk mendapatkan kepastian. Kedua-dua pun sahabat, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Yang sorang macam tunggul, yang sorang lagi kalau bab memujuk ni, nombor satu. Kang aku padankan budak berdua ni baru tahu!’ Getus Sue di dalam hati.

“Kesian la kat aku ... jom la, korang tak payah bayar sesen pun.”rayu Hazli lagi. Arina mula diasak serba salah. Dia membalas renungan Sue dengan anggukan tanda setuju.

“Okey ... jom. Kau belanja, kan?” Mereka bertiga mengatur langkah menuju ke Marrybrown yang terletak bersebelahan dengan Fakulti Pengurusan. Mereka memilih tempat duduk yang agak terpencil. Ingin privacy, begitulah kata Hazli.

“Ina nak makan apa?” Hazli bertanya. Arina terkejut, namun dia cuba berlagak selamba.

“Saya ikut aje.” Balas Arina sepatah.

“Okey, Sue kau pergi order apa aje. Aku bayar.” Arah Hazli kepada Sue.

“Aku pulak yang kena? Kaulah pergi!” Sue menolak. Dai tidak mahu jadi hamba Hazli.

“Aku cakap tadi aku belanja aje, kan ... tak cakap nak pegi orderkan sekali. Pergilah ... Sue.”

‘Hee ... mengada betul la mamat ni.’ Hati Sue menjerit geram.

“Tak pe Sue, aku temankan kau.” Tiba-tiba Arina menawarkan dirinya.

“Eh, tak payahlah Ina. Dia boleh pegi sendiri, kan Sue?” Hazli mengenyit sebelah matanya sambil mengibas tangannya tanda menyuruh Sue meninggalkan mereka berdua. Arina mula tidak senang duduk. Hazli mengambil tempat berhadapan Arina. Apabila pandangan mata mereka bertembung, Arina cepat-cepat menundukkan wajah. Di dalam hati dia menyumpah kerana ditinggalkan berdua-duaan di situ.

“Ina, boleh saya tanya sesuatu?” Hazli mula memasang jerat kasihnya.

“Boleh.” Jawab Arina pendek.

“Kenapa Ina macam nak elakkan diri dari saya? Saya ada buat apa-apa yang menyinggung perasaan awak ke?” Hazli melemparkan soalan yang sekian lama terbuku di hati. Dia ingin sekali mengetahui apa yang berlegar di ruang minda gadis kecil molek ini. Bukan dia tidak perasan, setiap kali ternampak kelibatnya, pasti gadis itu cuba melarikan diri. Atau pun buat tidak nampak. Tidak kira sama ada di kuliah atau di mana saja di kampus ini. Sedangkan dia hanya ingin menjalin hubungan baik dengan orang-orang di sekitarnya. Sementelah lagi mereka bekas pelajar matrikulasi yang sama. Ada juga dia merisik pada Sue, tetapi Sue hanya mengatakan tidak tahu. Arina mendongak.

‘ Dia perasan ke aku selalu lari bila nampak dia?’ Arina teringat peristiwa beberapa hari yang lepas di kafe kolej. Ekor matanya pasti yang Hazli ingin menegurnya, tetapi dia buat tidak nampak. Lebih teruk lagi, dia akan menunggu sehingga Hazli beredar. Rakan-rakannya bukan seorang dua yang pelik dengan tingkahnya. Entahlah ... dia tidak mempunyai kekuatan untuk bersemuka dengan lelaki. Bukan bermakna dia sombong, tidak sama sekali. Cuma dia perlukan masa. Perlukah dia?

Apa yang aku nantikan sebenarnya?’ Bisik hati Arina.

“Okey, lunch is served! Tepi sikit, aku nak masuk ni!” Hazli mengesot sedikit memberi ruang duduk untuk Sue. Hidangan tiga set diletakkan di atas meja. Pertanyaan Hazli tergantung. Semasa mengadap hidangan, Arina diam membisu. Cuma sesekali dia ketawa bila Hazli dan Sue menceritakan sesuatu yang menggelikan hati. Lucu juga bila mengenang zaman belajar di matrik. Bermusuh dengan warden blok yang suka mencari salah orang lain, mengenakan makcik guard yang tidak sudah-sudah dengan peraturan yang menyesakkan. Hingga sampai ke satu tahap, tercetus pertengkaran di antara pelajar dengan pihak atasan. Semuanya kerana tidak puas hati dengan sistem pentadbiran kolej. Ah, nakal sungguh kalau hendak dikenangkan.

Selesai makan, mereka beredar menuju ke dewan kuliah satu untuk menghadiri kuliah Pengantar Pemikiran. Encik Shuib bijak menyelitkan jenaka di dalam kuliahnya jadi tidaklah mereka rasa mengantuk. Maklumlah, pukul dua petang selalunya badan sudah ada di atas tilam. Waktu yang sesuai untuk membuta, apatah lagi kalau lepas makan. Hanya Arina dan Sue saja yang ada kuliah, manakala Hazli pulang terus ke kolej.

“Li ...”Arina memberanikan diri. Hazli menoleh.

“Saya minta maaf.” Hampir tidak kedengaran di pendengaran telinga Hazli.

“Untuk apa?” Hazli bertanya kehairanan.

“Awak tahu jawapannya. Saya minta diri.”Arina meninggalkan Hazli dan Sue yang tertanya-tanya sendirian. Dia merenung tajam ke arah Hazli.

What?” Hazli bersuara apabila renungan Sue tepat menujah anak matanya.

There’s something between you and her. Tak pe, aku akan tau juga nanti. Chow!”Sue mengekori Arina yang jauh di hadapan.

Bukan ungkapan maaf yang saya harapkan.’ keluh Hazli sendirian. Matanya menghantar pemergian kedua orang temannya sebelum dia sendiri beredar ke perhentian bas laluan B.

Comments

Popular posts from this blog

My ultimate weakness is….always put too much and expecting too much from someone Which ended me hurt and frustrated. Always trust man words even I deny it verbally. Oh my…why do I always feel this way. Kebodohan apakah yang melanda? Hingga ke hujung usia masih tidak bangkit dari ujian yang sama. Moga…ya untuk moga yang kesekian kalinya. Moga tiada lagi istilah “percaya” pada yang tidak sepatutnya aku percaya.