Skip to main content

INIKAH ERTINYA CINTA: 19

Jam sudah menunjukkan tepat jam sembilan malam. Maknanya, sudah hampir sejam dia duduk di hadapan komputer. Matanya pun telah berpinar-pinar, tetapi latihan makmal masih belum mampu diselesaikannya. Subjek Pengaturcaraan Awalan menggunakan Java sebagai medium pengaturcaraan mencabar mindanya yang masih setahun jagung di dalam bidang IT. Sedari tadi Arina gagal mengesan satu-satunya error yang menghalang perjalanan aturcara. Hampir hendak pecah kepala memikirkan jalan penyelesaiannya. Kalau melibatkan logic error, alamat kena tunggu sampai esoklah jawabnya. Mungkin silap dalam mengimplementasi method atau pun objek tidak diisytiharkan.

Teman sebilik masih belum pulang daripada diskusi. Arina tinggal sendirian di bilik, bosan juga.

Nak buat apa ye?’ Detik hati kecilnya. Tidak sanggup lagi rasanya hendak mengadap komputer. Arina memicit-micit lehernya. Lenguh pula.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Telefon bimbit dicapai. Seketika kemudian, dia tersenyum sendiri. Ragu-ragu dengan tindakan yang bakal dilakukannya.

Betul ke apa yang aku nak buat ni? Sanggup ke aku tanggung risiko? Ala ... berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Masalahnya, yang satu pun tak ada, apa lagi yang beribu. He..he..’ Nakal hati Arina berbicara.

Salam ... maaf mengganggu awak. Macam mana hidup kat sini?

butang SEND ditekan. Arina mula menanti respon.

Dia balas tak agaknya? Hati Arina berbisik lagi. Dua minit kemudian ...

Tit ... Tit ... isyarat mesej diterima mengundang debar di hati.

Dia balas! Hati Arina semakin berdebar.

Wslm ... tak ganggu pun. Siapa awak? Macam mana awak tau nombor saya?

Arina ketawa kecil. Idea nakal mula berlegar di fikirannya.

Hai ...dia yang bagi, tak kan tak ingat kot.

Balas berbalas SMS sudah pun bermula.

Saya bagi? Setahu saya tak pernah pulak saya bagi nombor kat orang yang saya tak kenal.

Saya main-main je. Rita yang bagi, katanya awak nak cari member. Awak tak kisah ke saya ber ‘sms’ dengan awak ni?

Oh, Rita ke?saya tak kisah. Awak msg saya boyfriend tak marah ke?

Arina tersenyum.

Mulalah tu. Nak tipu ke nak beritahu yang betul? Just be yourself, Arina. Arina yang jujur dan lurus, bisik suara hatinya.

Awak ni perli saya ke Afandi? Saya masih suci dari perasaan cinta. Lainlah awak, betul tak? Saja Arina hendak menguji pemuda ini sama ada dia jujur ataupun tidak. Hehe ...

Dulu ya, tapi putus di pertengahan jalan. Rita tak bagitau ke? Eh ... saya tak tau pun nama awak.U can call me Fendi. Fendi memperkenalkan dirinya. Jadi benarlah apa yang disampaikan Rita.

Nama saya Arina. My friends called me Ina.Tak apalah, mungkin bukan jodoh awak agaknya. Saya harap awak bersabar dengan dugaan yang diturunkan ke atas awak. Saya pernah terbaca kalau Tuhan turunkan ujian pada hambanya, itu bermakna dia kasihkan hambanya. Beruntunglah Fendi sebab meskipun kehilangan insan tersayang, kasih Allah tetap bersama awak.

Fendi menatap tiap baris kata yang dihantar Arina kepadanya. Gadis ini pandai berbicara. Dia mula tertarik untuk mengenali Arina lebih dekat.

Terima kasih, saya tahu tu. Hmm ... agaknya Rin ni penggemar novel kot. Puitis aje bahasa. Tak kisah kan saya bahasakan diri awak Rin? Lain dari yang lain.

Bulat mata Arina membaca panggilan namanya yang tidak pernah dibuat orang.

Kenapa la kau kenalkan aku dengan mamat romantis, Rita oooiii!! Bahaya kalau aku terjebak dalam jerangkap kasih dia ni. Sabar Arina, sabar. Arina cuba meredakan debaran yang semakin bertandang di dalam hatinya.

Errr ... belum pernah orang panggil saya dengan nama tu. Kalau awak suka, saya ikut aje. Fendi, sampai sini dulu, ya. Saya nak sambung kerja saya tadi. Nice knowing you.

Okey, saya harap persahabatan kita ni akan kekal.Assalamualaikum.

Salam Fendi Arina jawab di dalam hati yang berkocak. Afandi ... Fendi ... Hehe ... Arina memeluk bantalnya erat.

“Woi! Apahal ni sengih sorang-sorang?”

“Entahnya, orang panggil dia buat bodoh aje,”

Bila masa pulak dua minah ni sampai? Tak sedar langsung aku. Jauhnya aku berangan! Astaghfirullah ...Arina beristigfar di dalam hati.

“Hehe ... maaf ye. Aku betul-betul tak perasan korang.” Panas mukanya menahan malu. Kalaulah mereka berdua tahu apa yang telah dilakukannya. Intan dan Sue menurunkan beg masing-masing yang tergalas di bahu ke lantai.

Intan, sahabat yang dikenali semasa minggu terakhir orientasi. Seorang yang banyak cakap, tidak pernah serius dengan apa pun. Kadang-kadang bengang juga kita dibuatnya, masa tengah serius dibantainya buat lawak! Penghabisannya, satu kerja pun tak jadi. Memandangkan ini tugasan berkumpulan, terpaksalah dia mengumpulkan semua ahli yang rata-rata tinggal di kolej yang sama. Biar semua merasa buat kerja.

“Mana Eja? Dia yang pergi panggil orang, dia pulak yang hilang?” Arina bertanya apabila ketiadaan Eja disedari.

“Tengah bergayut dengan Fariz, sat lagi dia mailah,” Sue menjawab dalam loghat utara. Dia meletakkan beg bajunya di bawah katil Eja. Disebabkan dia seorang sahaja yang menetap di kolej laluan A, terpaksalah dia menginap di bilik Arina dan Aziriza buat sementara untuk menghadiri perbincangan. Biarpun terpaksa berjalan agak jauh, dia perlu membuktikan bahawa dia juga komited terhadap tugasan ini meskipun rakan-rakannya tidak kisah jika dia tidak dapat hadir.

“Fariz call Eja?”

“La ... kau tak tau ke diorang kamcing sekarang ni? Mana-mana pergi mesti berdua. Apa orang kata macam .... apa ke nama menatang tu ...” Intan cuba mengingati sesuatu. Dahinya berkerut.

“Macam belangkas!”Sue dan Arina menjawab serentak.

“Haa ... itulah yang aku nak kata tadi, tak terkeluar pulak.” Intan cuba menutup malu.

Eja dengan Fariz? Sejak bila budak berdua ni rapat?’ Getus hati Sue dan Arina.

“Eh, Intan! Fariz dengan Eja tu ada apa-apa ke? Kau kan banyak kuliah sama dengan dia orang?” Sue menyoal penuh minat.

Bagus Sue, tak sempat aku tanya, dia dah tanya dulu.’ Arina bersorak girang.

Intan memandang kiri dan kanan. Kemudian dia bangkit untuk menutup pintu bilik yang ternganga luas. Duduk semula untuk memulakan cerita.

Tu dia, dah start dah nak buat kerja kepoh.’ Sekali lagi Arina dan Sue bergetus di dalam hati.

“Memang aku rapat dengan Fariz, maklumlah satu negeri. Nak kata Fariz ada hati, mungkin juga sebab apa-apa hal mesti ajak Eja temankan. Eja pun macam ada respon aje. Kalau korang nak tau, Eja panggil dia Iman, bukan Fariz macam kita tau. Apa yang aku boleh simpulkan, mereka memang bersahabat baik Macam Arina dengan Hazli.” Intan menolak Arina yang terpinga-pinga.

Apasal aku pulak yang terlibat? Ada ke dengan mamat tu? Kalau Fendi tak apa la jugak! Gatal juga aku ye. Omel Arina terhadap spekulasi yang tidak betul dilakukan oleh Intan.

“Korang jangan babitkan aku pulak, kan kita tengah cerita pasal Eja” Arina melenting untuk mempertahankan dirinya.

“Assalammualaikum!” Pintu diketuk bertalu-talu.

Eja dah balik! Arina membuka pintu. Aziriza melangkah masuk sambil merenung wajah teman-temannya. Seorang demi seorang yang dipandangnya melemparkan senyum penuh makna.

Ini mesti baru habis mengata aku. Patutlah rasa tak sedap hati aje nak masuk tadi.’ Terbuntang mata Aziriza memandang setiap seorang daripada mereka yang masih lagi tersengih.

“Iman apa khabar?”Arina bertanya selamba. Berubah wajah Aziriza mendengar nama yang terpacul keluar daripada bibir temannya itu. Sue dengan Intan sudah bersiap sedia di muka pintu. Pantas dia menoleh kepada Intan yang memegang kejap lengan Sue.

“Intan! Jaga kau!” Intan menghayun langkah seribu. Tidak semena-mena Sue pun ikut sama berlari kerana lengannya ditarik oleh Intan. Arina cuma ketawa sambil menggeleng kepala melihat telatah rakan-rakannya.

Nampak gayanya, kena stay up la malam ni. Biar la bebudak tu habis buat larian amal dulu. Sementara itu, aku nak main game dulu!’ Arina meneruskan agenda yang terpahat di hatinya.

Comments

Popular posts from this blog

My ultimate weakness is….always put too much and expecting too much from someone Which ended me hurt and frustrated. Always trust man words even I deny it verbally. Oh my…why do I always feel this way. Kebodohan apakah yang melanda? Hingga ke hujung usia masih tidak bangkit dari ujian yang sama. Moga…ya untuk moga yang kesekian kalinya. Moga tiada lagi istilah “percaya” pada yang tidak sepatutnya aku percaya.