“RIN, SAYA TUNGGU AWAK KAT PERPUSTAKAAN. TINGKAT 5. RITA KATA AWAK KENAL SAYA. ITU PUN KALAU AWAK SUDI.” Gelisah Arina memikirkan mesej Fendi yang diterimanya sebentar tadi. Nasi goreng kesukaannya pun hanya dijamah sedikit sahaja. Hendak menolak dia serba salah. Sudah banyak kali dia menghampakan Fendi. Hendak pergi, hatinya pula terasa berat. Segan dan malu semuanya bersatu. “Dik, kenapa makan tak habis? Tak sihat ke?” Hazli menyoal apabila memerhatikan Arina tidak menghabiskan makanannya. Arina menggeleng menidakkan andaian Hazli. “Hang tu dah la kecik, tak payahlah nak ber diet . Ke baru dapat mesej dari balak sampai tak lalu makan?”Azizi pula bersuara. “Siapa diet , aku tak ada seleralah. Merepek la kau, Zi.” Tiba-tiba Sue menjerit. Semua mata memandang ke arahnya. Menyedari dia bersikap di luar kawalan, dia menekup mulut. Nasib baik tidak melatah. Dia menjegilkan matanya, marah dengan Intan yang tidak semena-mena mencucuk pinggangnya. Intan menghalakan jari telunjukny...